Saya tidak pandai berkata-kata, namun saya juga mempunyai pengalaman dan pendapat sendiri yang kadangkala terbuku di hati. Hanya melalui penulisan saya dapat meluahkan apa yang tidak dapat saya katakan secara lisan. Saya mengalu-alukan komen atau apa-apa sahaja cerita yang ingin dikongsi oleh single-mom yang lain, supaya kita dapat sama-sama mencari penyelesaiannya. Jika ada yang terkasar bahasa secara sengaja atau tidak, saya menyusun jari memohon ampun dan maaf.

Monday, October 17, 2011

Berdoalah

Baru-baru ini saya membaca blog http://drmindailmu.blogspot.com tentang kepentingan berdoa dan adab berdoa. Antara yang dinyatakan (terima kasih buat penulis blog & keseluruhan kredit adalah buatnya) adalah seperti berikut :

Apabila seorang Muslim memanjatkan sesuatu doa kepada Allah yang di dalamnya tidak ada dosa dan pemutusan tali silaturrahim, maka Allah SWT akan memberinya satu di antara tiga :

1) Allah langsung mengabulkan doanya.
2) Allah akan menyimpannya untuk orang tersebut di akhirat.
3) Allah akan menjauhkan kejahatan atau keburukan dari orang tersebut yang setimpal dengan doanya.

Saya selalu tertanya-tanya di dalam hati, kenapa kebanyakan doa yang saya pohon tidak dikabulkan. Saya pernah berdoa siang dan malam semenjak hari pertama suami saya dimasukkan ke CCU kemudian ditukarkan ke ICU, semoga suami saya sembuh dan dapat pulang ke rumah meskipun tidak sihat seperti dulu, dan saya diberi peluang kedua untuk menjalani hidup bersama-sama suami dan anak...namun doa saya tidak dikabulkan. Saya juga berdoa semoga Allah berikan saya hati yang gembira semula meskipun kini menjalani hidup berdua dengan anak saya, namun perasaan sedih yang mendalam masih melingkungi hidup saya.

Kini saya mengerti mengapa doa saya tidak dikabulkan seperti yang saya panjatkan, kerana apa yang saya lihat kini Allah melindungi saya & anak dari sebarang kejahatan & keburukan semenjak suami saya pergi. Tidak pernah satu hari pun dalam hidup saya dan anak semenjak hari suami saya dikebumikan sehinggalah kini Allah memberi hidup yang susah buat kami. Segala-galanya seperti dirancang dengan sebaik-baiknya. Contohnya, apabila tayar kereta saya pancit berhampiran kawasan rumah saya, dalam sekelip mata 2 hamba Allah datang membantu saya sebelum saya sempat memohon bantuan. Rezeki saya dan anak tidak pernah berkurangan, malah sentiasa sampai kepada kami terutamanya di dalam waktu kami tidak menyangkakannya. Walaupun perasaan sedih masih tidak dapat saya hilangkan, namun Allah bagi saya ketenangan jiwa melebihi apa yang saya rasakan sebelum ini.

Saya teringat kata-kata salah seorang teman baik saya. Jangan berhenti berdoa dan jangan berhenti membaca Al-Quran meskipun doa saya tidak dikabulkan serta-merta. Ada sebabnya kenapa doa saya masih tidak dikabulkan, kerana Allah masih ingin mendengar suara saya memohon kepadaNya. Buat teman saya itu, terima kasih kerana sentiasa memberi saya nasihat yang baik dan juga kerana mampu membuat saya ketawa pada masa saya marah.









Friday, October 14, 2011

Adakah kita mampu menanggung beban yang diterima?

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya" - Surah Al-Baqarah Ayat 286

Setiap dugaan pasti ada hikmahnya. Itu yang selalu ayah titipkan setiapkali saya berasa sebak dan sedih setelah kehilangan suami. Ayah selalu memeluk dan mengusap kepala saya seolah-olah saya masih anak kecilnya apabila hati saya benar-benar dirundung perasaan kecewa dan pilu kerana 'ditinggalkan' sendirian bersama anak yang masih kecil.

Setiap hari selama berbulan-bulan saya mencari sesuatu ayat yang mungkin dapat mengubat hati saya. Akhirnya saya terjumpa maksud ayat 286 dari surah Al-Baqarah (seperti yang dinyatakan di atas). Saya mula sedar, jika Allah merasakan saya tidak cukup kuat untuk menghadapi dugaan ini, pasti Dia tidak akan memberinya kepada saya. Jika Allah merasakan saya akan jatuh tersungkur dan tidak mungkin bangun semula, pasti Dia tidak akan menduga saya begini. Saya mula akui, saya bukan seorang yang lemah seperti yang saya rasakan selama ini. Saya kuat dari segi mental dan fizikal. Saya seorang ibu yang berpendidikan, mempunyai karier sendiri, mampu menangani segala masalah dengan baik, mempunyai fikiran yang waras dan rasional, mempunyai hati yang penuh dengan perasaan kasih dan sayang buat anak saya, berhati tegar...jadi kenapa saya perlu takut untuk menghadapi segala dugaan. Malah sepatutnya saya bersyukur kerana dengan adanya dugaan-dugaan ini menunjukkan Allah masih menyayangi saya.

Allah itu Maha Agung. Maha Besar. Maha Penyayang. Pasti ada kebaikan di sebalik segala-gala yang berlaku. Sekurang-kurangnya apa yang telah terjadi membuatkan saya sedar betapa kerdilnya saya di sisi Tuhan, betapa banyak kesilapan yang telah saya lakukan selama ini, Allah masih menyayangi saya dengan memberikan saya dugaan yang mampu membuatkan saya menjadi seorang yang makin kuat pendirian, malah belajar menerima keadaan dengan baik, dan redha atas segala-galanya.

Tiga perkara penting yang saya perolehi daripada apa yang berlaku :
1) Redha menerima segala yang ditentukan oleh Allah walaupun dugaan itu terlalu berat.
2) Bersyukur dengan segala nikmat yang diterima, walaupun hanya sekecil batu kerikil.
3) Berusaha, berdoa & bertawakkal untuk setiap apa yang telah kita usahakan.

Belajarlah untuk redha atas segala perkara yang diterima. Walau pada mulanya nampak seolah-olah akan melemahkan diri kita, tapi akhirnya kita akan sedar dugaan itulah yang akan membuatkan kita bangun sebagai seorang yang lebih baik dari sebelumnya..insyaallah.





Thursday, October 13, 2011

Persediaan sebagai single mom

Menjadi single mom bukan sesuatu yang mudah. Kena sentiasa bersedia dari segi mental, fizikal dan material. Banyak perkara yang perlu dilalui sendirian, terutama melibatkan ibu tunggal yang kematian suami.

Buat mereka yang senasib, saya doakan semoga kita semua sentiasa diberi kekuatan & ketabahan untuk menghadapi saat-saat getir ini. Sedikit pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama semoga dapat dijadikan sebagai ikhtibar tentang apa yang dikatakan sebagai persediaan fizikal, mental dan material.

  1. Menguruskan hal-hal berkaitan dengan suami setelah ketiadaannya seperti EPF, Socso, insurans, Amanah Raya dan sebagainya.
  2. Menguruskan hal-hal persekolahan anak dan keperluannya.
  3. Memastikan perbelanjaan harian & bulanan dapat di sediakan seperti biasa. Contohnya, installment kereta, sewa rumah, perbelanjaan dapur, maintenance kereta, duit poket anak, bil-bil utiliti, yuran sekolah dan sebagainya.
  4. Memastikan kesihatan fizikal & mental diri sendiri serta anak diberi perhatian sepenuhnya kerana terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan secara sendirian. Ada masanya saya merasakan terlalu lemah sehingga saya menangis tanpa henti terutama pada malam hari setelah anak saya tidur, tapi bagi saya itu adalah terapi buat diri saya kerana setelah mengeluarkan segala kesedihan melalui airmata, saya akan menjadi lega dan kuat semula untuk meneruskan hari esok.
  5. Bersedia dengan pandangan orang ramai yang akan menjadi agak berbeza dari sebelumnya, sama ada mereka akan memandang kita sebagai satu liabiliti atau melihat kita dengan simpati atau menyalahtafsir perlakuan kita secara negatif.
  6. Mendidik anak dengan sebaik-baiknya kerana di saat ini kitalah ibu, kitalah ayah. Bagi anak yang masih kecil, kita bertanggungjawab menjelaskan sebaik mungkin padanya apa yang berlaku supaya dia boleh memahami sedikit demi sedikit. Sbg contoh, saya tidak menggunakan istilah 'meninggal dunia' kerana anak saya masih tidak mengerti sehingga sekarang apa yang dimaksudkan, oleh itu apabila dia bertanyakan tentang ayahnya saya akan jelaskan seperti berikut "papa dah pergi jauh sbb Tuhan dah ambil papa, jadi papa tak boleh balik untuk jaga harith macam selalu. tapi papa sayang sangat pada harith & mama, dan akan sayang kita sampai bila-bila". Alhamdulillah, anak saya mula memahami sedikit demi sedikit. Setiapkali saya selesai bersolat kadangkala anak saya akan datang duduk di riba dan berdoa untuk papanya..walaupun doa yang saya ajarkan ringkas buat dia, tapi saya berharap dia akan mengerti akhirnya.
Apa yang penting adalah kekuatan diri sendiri. Sokongan keluarga walaupun jauh, serta sokongan moral dari rakan-rakan juga amat penting kerana dengan kehadiran mereka hidup kita akan menjadi lebih terurus meskipun mereka hanya menjadi pendengar setia kepada luahan hati kita. Namun, disebalik semua ini, mohonlah dari Allah swt supaya kita sentiasa diberi petunjuk dan kekuatan serta ketabahan supaya dapat meneruskan hidup dengan lebih baik.

Dugaan Allah...adakah aku bersedia?

Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan. [Al-Anbiyaa’: 35]

Aku hanya seorang isteri dan ibu yang biasa-biasa saja, tiada kelebihan yang mampu membuatkan hati aku tegar menghadapi setiap dugaan yang datang. Walau betapa kuat aku cuba berdiri dan melangkah, kadangkala aku hampir tersungkur sendirian.

Kamarudin Bin Shaari, dialah teman sejati, dialah lelaki idaman, dialah SUAMI tercinta, dialah ayah buat Muhammad Harith Izzudin. Segala-gala tertumpu padanya. Berkenalan pada 2003, yang akhirnya membawa ke gerbang perkahwinan pada 2005, dan dengan izin Allah dikurniakan seorang anak lelaki yang sangat comel pada mata kami...Harith pada 2006.

Tanggal 12 Mei 2011, tepat 5.20 pagi, semasa aku masih berdiri teguh di sisi suamiku, doktor bertugas memandang ke mataku sambil melafazkan "Puan, saya mohon maaf, En Kamarudin telah menghembuskan nafas terakhir...saya minta izin puan untuk menanggalkan semua tiub yang berada di tubuh allahyarham". Aku hanya mampu menganggukkan kepala, fikiran benar-benar kosong, air mata mengalir laju, bibir terdiam kaku...walau aku telah cuba bersedia sepenuhnya dari pukul 9 malam tadi bersama-sama keluarga di wad ICU, apabila suamiku mengalami pendarahan otak yang teruk, bersama-sama membaca yassin di sisinya, dan mataku tidak henti-henti memandang monitor yang bersambung ke tubuhnya...melihat progress degupan jantung dan nadi...namun bila sampai saatnya dia pergi...aku masih tetap tidak bersedia.

Selama 21 hari aku menjalani rutin yang sama, ke pejabat setiap pagi, dan menemani suamiku pukul 4 petang setiap hari, pulang ke rumah lewat malam...tiba-tiba pada hari ke 22 Allah mengambilnya kembali. Aku redha..aku benar-benar redha pada pendapatku di saat itu. Meskipun selama 21 hari bertarung nyawa di ICU, hanya beberapa hari sahaja suamiku berada di dalam keadaan sedar. Meskipun tidak boleh berkata-kata, namun renungan matanya cukup membuatkan aku bersyukur pada Allah kerana hanya aku dan suamiku faham apa maksud pandangan mata kami...cinta yang tak pernah padam.

Selama 34 tahun aku diberi peluang bernafas di dunia ini, inilah kali pertama Allah mendugaku dengan sebegitu besar dugaan. Tapi aku masih bersyukur kerana Allah memberi aku peluang berada di sisi suamiku semenjak dia mula dimasukkan ke ICU, sehingga dia menutupkan matanya buat selama-lamanya...malah Allah masih berikan aku kekuatan untuk bersamanya di saat aku menjiruskan air terakhir pada tubuhnya, mengucup dahinya semasa dikafankan, menyaksikan solat jenazah, mengiringinya ke pusara, melihat jenazahnya di masukkan ke liang lahad dan mendengar bacaan talqin.

Kini menjalani hidup bersendirian bersama-sama anak tunggal kami, bukan suatu perkara yang mudah. Walau hanya diberi peluang 6 tahun cuma untuk hidup bersamanya, mungkin bukan satu waktu yang panjang seperti pasangan lain, namun tempoh itu sudah cukup membuatkan aku berasa seperti kehilangan arah semenjak ketiadaannya. Hanya doa yang mampu aku pohonkan dari Yang Esa, semoga roh suamiku dicucuri rahmat, ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan segala dosanya akan diampunkan.