Menjadi single mom bukan sesuatu yang mudah. Kena sentiasa bersedia dari segi mental, fizikal dan material. Banyak perkara yang perlu dilalui sendirian, terutama melibatkan ibu tunggal yang kematian suami.
Buat mereka yang senasib, saya doakan semoga kita semua sentiasa diberi kekuatan & ketabahan untuk menghadapi saat-saat getir ini. Sedikit pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama semoga dapat dijadikan sebagai ikhtibar tentang apa yang dikatakan sebagai persediaan fizikal, mental dan material.
- Menguruskan hal-hal berkaitan dengan suami setelah ketiadaannya seperti EPF, Socso, insurans, Amanah Raya dan sebagainya.
- Menguruskan hal-hal persekolahan anak dan keperluannya.
- Memastikan perbelanjaan harian & bulanan dapat di sediakan seperti biasa. Contohnya, installment kereta, sewa rumah, perbelanjaan dapur, maintenance kereta, duit poket anak, bil-bil utiliti, yuran sekolah dan sebagainya.
- Memastikan kesihatan fizikal & mental diri sendiri serta anak diberi perhatian sepenuhnya kerana terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan secara sendirian. Ada masanya saya merasakan terlalu lemah sehingga saya menangis tanpa henti terutama pada malam hari setelah anak saya tidur, tapi bagi saya itu adalah terapi buat diri saya kerana setelah mengeluarkan segala kesedihan melalui airmata, saya akan menjadi lega dan kuat semula untuk meneruskan hari esok.
- Bersedia dengan pandangan orang ramai yang akan menjadi agak berbeza dari sebelumnya, sama ada mereka akan memandang kita sebagai satu liabiliti atau melihat kita dengan simpati atau menyalahtafsir perlakuan kita secara negatif.
- Mendidik anak dengan sebaik-baiknya kerana di saat ini kitalah ibu, kitalah ayah. Bagi anak yang masih kecil, kita bertanggungjawab menjelaskan sebaik mungkin padanya apa yang berlaku supaya dia boleh memahami sedikit demi sedikit. Sbg contoh, saya tidak menggunakan istilah 'meninggal dunia' kerana anak saya masih tidak mengerti sehingga sekarang apa yang dimaksudkan, oleh itu apabila dia bertanyakan tentang ayahnya saya akan jelaskan seperti berikut "papa dah pergi jauh sbb Tuhan dah ambil papa, jadi papa tak boleh balik untuk jaga harith macam selalu. tapi papa sayang sangat pada harith & mama, dan akan sayang kita sampai bila-bila". Alhamdulillah, anak saya mula memahami sedikit demi sedikit. Setiapkali saya selesai bersolat kadangkala anak saya akan datang duduk di riba dan berdoa untuk papanya..walaupun doa yang saya ajarkan ringkas buat dia, tapi saya berharap dia akan mengerti akhirnya.
Apa yang penting adalah kekuatan diri sendiri. Sokongan keluarga walaupun jauh, serta sokongan moral dari rakan-rakan juga amat penting kerana dengan kehadiran mereka hidup kita akan menjadi lebih terurus meskipun mereka hanya menjadi pendengar setia kepada luahan hati kita. Namun, disebalik semua ini, mohonlah dari Allah swt supaya kita sentiasa diberi petunjuk dan kekuatan serta ketabahan supaya dapat meneruskan hidup dengan lebih baik.
No comments:
Post a Comment