Saya tidak pandai berkata-kata, namun saya juga mempunyai pengalaman dan pendapat sendiri yang kadangkala terbuku di hati. Hanya melalui penulisan saya dapat meluahkan apa yang tidak dapat saya katakan secara lisan. Saya mengalu-alukan komen atau apa-apa sahaja cerita yang ingin dikongsi oleh single-mom yang lain, supaya kita dapat sama-sama mencari penyelesaiannya. Jika ada yang terkasar bahasa secara sengaja atau tidak, saya menyusun jari memohon ampun dan maaf.

Thursday, October 13, 2011

Dugaan Allah...adakah aku bersedia?

Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan. [Al-Anbiyaa’: 35]

Aku hanya seorang isteri dan ibu yang biasa-biasa saja, tiada kelebihan yang mampu membuatkan hati aku tegar menghadapi setiap dugaan yang datang. Walau betapa kuat aku cuba berdiri dan melangkah, kadangkala aku hampir tersungkur sendirian.

Kamarudin Bin Shaari, dialah teman sejati, dialah lelaki idaman, dialah SUAMI tercinta, dialah ayah buat Muhammad Harith Izzudin. Segala-gala tertumpu padanya. Berkenalan pada 2003, yang akhirnya membawa ke gerbang perkahwinan pada 2005, dan dengan izin Allah dikurniakan seorang anak lelaki yang sangat comel pada mata kami...Harith pada 2006.

Tanggal 12 Mei 2011, tepat 5.20 pagi, semasa aku masih berdiri teguh di sisi suamiku, doktor bertugas memandang ke mataku sambil melafazkan "Puan, saya mohon maaf, En Kamarudin telah menghembuskan nafas terakhir...saya minta izin puan untuk menanggalkan semua tiub yang berada di tubuh allahyarham". Aku hanya mampu menganggukkan kepala, fikiran benar-benar kosong, air mata mengalir laju, bibir terdiam kaku...walau aku telah cuba bersedia sepenuhnya dari pukul 9 malam tadi bersama-sama keluarga di wad ICU, apabila suamiku mengalami pendarahan otak yang teruk, bersama-sama membaca yassin di sisinya, dan mataku tidak henti-henti memandang monitor yang bersambung ke tubuhnya...melihat progress degupan jantung dan nadi...namun bila sampai saatnya dia pergi...aku masih tetap tidak bersedia.

Selama 21 hari aku menjalani rutin yang sama, ke pejabat setiap pagi, dan menemani suamiku pukul 4 petang setiap hari, pulang ke rumah lewat malam...tiba-tiba pada hari ke 22 Allah mengambilnya kembali. Aku redha..aku benar-benar redha pada pendapatku di saat itu. Meskipun selama 21 hari bertarung nyawa di ICU, hanya beberapa hari sahaja suamiku berada di dalam keadaan sedar. Meskipun tidak boleh berkata-kata, namun renungan matanya cukup membuatkan aku bersyukur pada Allah kerana hanya aku dan suamiku faham apa maksud pandangan mata kami...cinta yang tak pernah padam.

Selama 34 tahun aku diberi peluang bernafas di dunia ini, inilah kali pertama Allah mendugaku dengan sebegitu besar dugaan. Tapi aku masih bersyukur kerana Allah memberi aku peluang berada di sisi suamiku semenjak dia mula dimasukkan ke ICU, sehingga dia menutupkan matanya buat selama-lamanya...malah Allah masih berikan aku kekuatan untuk bersamanya di saat aku menjiruskan air terakhir pada tubuhnya, mengucup dahinya semasa dikafankan, menyaksikan solat jenazah, mengiringinya ke pusara, melihat jenazahnya di masukkan ke liang lahad dan mendengar bacaan talqin.

Kini menjalani hidup bersendirian bersama-sama anak tunggal kami, bukan suatu perkara yang mudah. Walau hanya diberi peluang 6 tahun cuma untuk hidup bersamanya, mungkin bukan satu waktu yang panjang seperti pasangan lain, namun tempoh itu sudah cukup membuatkan aku berasa seperti kehilangan arah semenjak ketiadaannya. Hanya doa yang mampu aku pohonkan dari Yang Esa, semoga roh suamiku dicucuri rahmat, ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan segala dosanya akan diampunkan.

1 comment:

  1. Sabar ye YAn..Semoga Arwah ditempatkan bersama org2 yang soleh...Amin... Be strong for Harith yang sanggaattt comelll di mataku juga...Anniversary kita samakan 25.12.2005...so i know how u feel..its so soon for him to go..tp tu semua takdir Tuhan...Kau harus bersyukur kerana perginya dia meninggalkan seorang isteri yang solehah dan seorang anak yang belum berbuat dosa...didiklah Harith supaya menjadi anak yg soleh...Take care My Friend..Juz remember u r surrounded by people who cares for u....

    ReplyDelete